NEWS

MAC 2014 PROGRAMS

  by

1. MBSA COMPOUND CAMPAIGN
MBSA Tawar Pengurangan Kompaun Sehingga 80 Peratus

Diterbitkan: Rabu 5 Mac, 2014

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan kompaun sehingga 80 peratus kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA Shahrin Ahmad berkata tempoh tawaran pengurangan kompaun adalah sepanjang bulan ini sehingga 31 Mac.

Kempen pengurangan kompaun diadakan bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menjelaskan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas diambil, katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Katanya pengurangan kompaun hanya diberikan membabitkan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan (MBSA) 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

Katanya tiada pengurangan kompaun melibatkan kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (kompaun pembiakan jentik-jentik), Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MBSA) 1982 dan 2007, Undang-undang Pusat Siber dan Kafe Siber 2007, Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBSA) 2007, Undang-undang Kerja Tanah (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing, Kompaun Penundaan dan amaun kompaun yang sama atau melebihi RM1,000.

Sehubungan itu, Shahrin berkata orang ramai disaran mengambil peluang kempen itu untuk membuat semakan seterusnya menyelesaikan tunggakan kompaun di kaunter MBSA di Tingkat G, Wisma MBSA di sini dan juga di Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

Selain itu, beliau berkata MBSA turut menyediakan kemudahan pembayaran secara online bagi memudahkan orang ramai melalui kaedah FPX dan secara kad kredit dengan melayari laman web MBSA di www.mbsa.gov.my.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Hasil dan Pelaburan, MBSA di talian 03-55222882. – BERNAMA

Other News